Hari ini UMNO dimanifestasikan sebagai ruang kosong yang tidak perlu disi lagi dengan semangat dan roh orang-orang Melayu. UMNO yang satu ketika dulu meniupkan semangat api kemerdekaan dalam semarak menentang gagasan Malayan Union, hari ini dilihat telah dilihat oleh sebahagian yang ramai seperti sampah dalam mata.
UMNO sedang menuju ke pintu Arkib Negara dan bakal menjadi satu lagi catatan sejarah yang entah bila akan dirungkai semula peranan dan tanggungjawabnya terhadap Malaysia ini. Adakah UMNO sudah ditunjukkan jalan oleh rakyat untuk menjadi semakin tidak relevan dalam politik Malaysia?
Kita akan menerima kalau bangsa lain memperkecilkan peranan UMNO tetapi apalah malangnya apabila orang-orang Melayu sendiri tanpa segan silu menolak UMNO, orang Melayu sendiri memperkecilkan UMNO, orang Melayu sendiri mengaibkan UMNO dan ditangan orang Melayu sendirilah tersedia belati untuk menikam dan meracik UMNO daripada dalam.
Sejarah mencatatkan dan sejarah tidak boleh diputarbelitkan bahawa UMNOlah yang memperjuangkan kemerdekaan Negara ini. UMNOlah yang membentuk gagasan bagi menjadikan Malaysia dan orang Melayu serta bangsa-bangsa lain maju dan merdeka tetapi kerana ada orang-orang Melayu yang lupa sejarah dan buta pengertian tentang kemelayuannya, mereka melihat UMNO itu sebagai benteng yang menghalang mereka kononnya untuk menjadi lebih bebas berfikir dan bertindak.
Barangkali ada yang tidak lupa ataupun diberitahu oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu bagaimana nenek moyang kita meluruhkan gelang dan rantai, menggadaikan apa yang ada untuk diberikan kepada pemimpim-pemimpin Melayu bagi dijadikan bekal keluar Negara untuk menuntut kemerdekaan daripada Inggeris.
Dan hari ini kalaulah hari ini mereka masih bernafas, alangkah sedihnya mereka apabila orang Melayu hari ini tergamak menodai perjuangan mereka terdahulu. Alangkah kecewanya mereka kerana anak-anak melayu yang mendapat pendidikan barat dan selesa kehidupan peribadi sanggup menggigit tangan UMNO yang memberikan mereka tempat dan kedudukan istimewa hari ini.
Apakah Malaysia yang selama ini yang teguh dengan Islam dan Melayunya akan menjadi bangsa yang merempat dibumi sendiri dan adakah satu dua pemimpin Melayu yang masih ada hari ini akan menghantar UMNO ke neraka untuk dibakar hidup-hidup dan sanggupkah satu dua pemimpin UMNO yang ada hari ini melihat UMNO akan berkubur kerana mereka lebih rela mempertahankan kerakusan mereka dari mempertahankan UMNO?Sanggupkah mereka meletakkan kepentingan peribadi lebih utama daripada maruah dan masa depan UMNO itu sendiri?
Apabila Dasar Ekonomi Baru ( DEB) yang digagaskan oleh Tun Razak telah dimansuhkan di Pulau Pinang, ianya satu isyarat yang cukup jelas kepada bukan sahaja orang Melayu Pulau Pinang tetapi tempiasnya turut terkena kepada seluruh bangsa Melayu di Malaysia bahawa kita bakal dikenang hanya sebagai sebuah bangsa semata-mata dan inilah sebenarnya barangkali yang dituntut oleh orang Melayu. Orang melayu mungkin menuntut supaya hak keistimewaan orang melayu diberikan kepada bangsa lain dan biarlah mereka tidak lagi menjadi istimewa kerana Negara ini malah hak dan ketuanan melayu tidak perlu dipertahankan lagi.
Kepada semua, marilah kita sama-sama berbangga kerana kita telah berjaya memusnahkan ketuanan melayu dan membuka pintu Melayu kita dengan rela supaya kaum dan bangsa lain menyerbu masuk untuk memusnahkan segala yang orang Melayu miliki selama ini.
Hari ini terbukti, kerana kita marahkan seekor nyamuk, tanpa berfikir panjang,kita sanggup membakar sebuah rumah. Hari ini protes rakyat seakan sudah tidak terkawal. Mungkin ramai yang termenung selepas keputusan yang dikeluarkan terutamanya orang Melayu? Adakah hari ini kita bertambah selesa dengan kemenangan pembangkang yang sudah menjadi kerajaan? Adakah hari ini kita selesa dengan DAP (Cina) berbanding MCA (Cina) yang lebih baik berbanding DAP yang keras pendekatan politiknya terhadap ketuanan Melayu? Apakah kita lupa bahawa DAP adalah pecahan PAP yang merupakan parti didikan Lee Kuan Yuew (Singapura) yang sedang mengintai peluang untuk meratah kemewahan Malaysia?
Apakah dosa UMNO sehingga orang Melayu perlu melupakannya? Apakah syurga yang dijanjikan DAP? Apakah kita sudah lupa dengan jasa UMNO yang mengangkat martabat Tanah Melayu dan orang Melayu pada tahun 1957?
Apakah dengan keputusan pilihan rakyat pada kali ini telah memuaskan citra politik Melayu? Pilihan rakyat dalam pilihanraya kali ini jelas menunjukkan seolah-olah jasa UMNO semakin dilupakan. Yang lebih malang apabila Melayu sendiri melupakan UMNO. Hari ini UMNO perlu bangkit untuk menyedarkan orang Melayu bahawa mereka masih tetap relevan dalam kancah politik Malaysia dalam membela nasib Melayu. Orang Melayu perlu diingatkan dan disedarkan.
Mungkin keghairahan untuk memprotes menyebabkan ramai di kalangan Melayu lupa mempertahankan hak sendiri. hari ini hak Melayu mula dicabar. Hak Melayu mula dipersoal. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang, lihat sahaja apa yang berlaku di Perak. Kerana Melayu (PAS) tidak menang majoriti mudah kerusi DUN Perak, maka kerana ini DAP menolak calon MB (Melayu PAS). Hakikatnya jelas kita diperlekehkan bangsa lain apabila Melayu hilang kuasa majoriti dalam politik. Usah bicara soal ekonomi yang telahpun menunjukkan bangsa lain menguasainya tatkala Melayu masih lagi merangkak.
Mudah-mudahan orang Melayu kembali untuk berfikir apakah rasional untuk mereka terus melupakan UMNO dalam keadaan sejarah telah membuktikan jasa dan pengorbanan UMNO terhadap orang Melayu.
Sumber zana wordpress
0 comments:
Post a Comment